Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer
Perkembangan teknologi maklumat serta penggunaan komputer membawa implikasi yang besar ke atas kehidupan manusia termasuklah dalam bidang pendidikan. Ianya dapat membantu guru-guru dan pelajar-pelajar dalam proses pengajaran pembelajaran dengan lebih menarik dan interaktif. Selain dari bahan bantu mengajar, komputer juga boleh digunakan untuk mempercepatkan proses pengurusan dan penilaian di sekolah. Menurut Heinich, Molenda and Russell (1993) banyak perisian komputer yang boleh dimanfaatkan dalam setiap aspek pendidikan.
Perkembangan PPBK Kaedah pengajaran pembelajaran berbantukan komputer telah lama wujud sejak tahun 1960-an lagi di Amerika Syarikat dengan menggunakan komputer IBM. Satu projek PPBK yang dinamakan PLATO (Programmed Logic Automatic Teaching Operation) telah dibangunkan dengan kerjasama Universiti Illinois untuk membangunkan bahan perisian kursus untuk di gunakan di sekolah-sekolah. Di Malaysia, PPBK telah mula di perkenalkan dengan melibatkan 60 buah sekolah menengah yang dibekalkan 20 buah komputer pada tahun1993. Suatu bahan perisian yang di namakan ComIL telah di perkenalkan dengan kerjasama MIMOS dan Kementerian Pendidikan. Sekarang ini tumpuan utama PPBK adalah melibatkan empat mata pelajaran iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Kaedah pengajaran menggunakan komputer juga akan semakin berkembang dengan wujudnya Sekolah Bestari yang mana merupakan salah satu dari tujuh aplikasi MSC. Usaha-usaha sedang dijalankan oleh semua pihak untuk menjadikan mutu dan taraf pendidikan dapat ditingkatkan melalui pelbagai aspek dan salah satunya ialah penggunaan bahan-bahan perisian PPBK yang bersesuaian dan menepati kehendak pendidikan semasa.
Jenis-jenis PPBK
Terdapat lima jenis PPBK yang utama iaitu latihtubi, tutorial, simulasi, permainan dan penyelesaian masalah. Setiap jenis PPBK mempunyai kelebihan masing-masing dan sesuai digunakan dalam mata pelajaran peringkat rendah, menengah dan tinggi.
Latihtubi adalah suatu latihan yang berikan oleh komputer untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran. Komputer akan memberikan soalan dan merakamkan semua jawapan yang betul atau salah. Seterusnya komputer dapat memberikan maklumbalas kepada pelajar. Ini akan membolehkan pelajar yang kurang berpengalaman dapat mengikuti perjalanan kursus mengikut tahapnya sendiri dan dapat memaparkan kemajuannya pada bila-bila masa sahaja.
Tutorial melibatkan komputer memperkenalkan bahan-bahan pembelajaran di sampaikan secara berperingkat-peringkat dan diikuti dengan soalan-soalan. Seterusnya komputer akan menyemak jawapan dan memberikan maklum balas. Ianya sesuai digunakan untuk memperkenalkan isi kandungan baru, mengulangkaji dan pemulihan kepada pelajar yang berpencapaian rendah atau pengayaan kepada pelajar yang berpencapaian tinggi.
Simulasi adalah suatu situasi yang disediakan oleh komputer dengan memberikan gambaran sebenar terhadap sesuatu objek, proses atau peristiwa. Pelajar dapat berinteraksi secara aktif dengan komputer berdasarkan perana masing-masing bagi membuat keputusan, menyelesaikan masalah, isu, tugasan tertentu dan membuat keputusan yang tertentu. Ianya sesuai digunakan untuk pembelajaran proses dan konsep yang kompleks terutama dalam mata pelajaran seperti sains dan lain-lain yang memerlukan kajian atau modul atau modul yang mahal, merbahaya atau mengambil masa yang lama.
Permainan merupakan jenis PPBK yang melibatkan aktiviti berbentuk pertandingan di mana pelajar akan membuat keputusan, mengikut arahan dan peraturan. Unsur-unsur hiburan dan keseronokan dimasukkan bersama-sama semasa pelajar mempelajari sesuatu kemahiran dalam PPBK. Ianya akan dapat memperkembangkan kemahiran mental, logik, pengetahuan dan penyelesaian masalah. pelajar-pelajar akan mempunyai motivasi yang tinggi untuk menjadi juara.
Penyelesaian masalah adalah jenis PPBK yang dapat digabungkan dengan kaedah permainan untuk menghasilkan suatu keputusan yang hendak diambil oleh pelajar. Pelajar akan melakukan pilihan yang sesuai dan tepat. Pembinaan bahan PPBK Apabila hendak membina bahan PPBK, beberapa aspek perlu diambil kira seperti ahli-ahli kumpulan dan jenis perisian yang sesuai digunakan supaya mencapai objektif yang ditetapkan pada mula-mula lagi.
Menurut Tay Vaughan (1994) ahli kumpulan yang akan membina bahan perisian akan terdiri dari :
i) seorang ketua projek,
ii) pakar pedagogi,
iii) pakar pengaturcara,
iv) pakar grafik,
v) pakar audio dan
vi) pakar video.
Terdapat dua pilihan untuk pembinaan bahan perisian iaitu :
i) bahasa pengatucaraan atau ii) alat pengarangan.
Peringkat-peringkat pembinaan yang perlu di ambil ialah:
i) Perancangan perlu dikenal dibuat seperti tajuk, anggaran perbelanjaan dan tarikh-tarikh mengikut jangkaan fasa yang perlu disiapkan.
ii) Peringkat menyediakan rekabentuk skrin seperti skrip, storyboard .
iii) Menjalankan pengaturcaraan di dalam komputer.
iv) Apabila selesai dibina, bahan PPBK tersebut hendaklah diuji kesesuaiannya. Segala kekurangan perlulah diperbaiki semula.
v) Membuat dokumentasi.
vi) Seterusnya barulah ianya dapat digunakan oleh pelajar-pelajar.
Penilaian
PPBK Menurut Alessi and Trollip (1991) proses penilaian melibatkan beberapa langkah iaitu :
i) Melihat dokumentasi sekali imbas dan meneliti maklumat penting
ii) Mendapatkan maklumat tentang perisian kursus dari dokumentasi yang dilampirkan untuk di salin ke borang penilaian.
iii) Menggunakan perisian kursus pada komputer dari awal hingga akhir sambil meneliti ciri yang sedia ada.
iv) Melakukan kesilapan menaip dengan sengaja. Lihat apa terjadi.
v) Memberikan penilaian berdasarkan penggunaan.
Menurut Douglass E. Wolfgram (1994) ciri-ciri bahan kursus yang baik ialah :
i) Isi kandungan yang bersesuaian dengan objektif pembelajarandan tahap kognitif pelajar .
ii) Arahan yang mudah digunakan dan jelas.
iii) Penggunaan grafik yang menarik.
iv) Terdapat selitan audio untuk menimbulkan rangsangan dan motivasi.
v) Terdapat interaksi antara komputer dengan pelajar di mana maklumbalas dapat diberi secara serta merta.
Semoga dapat kita berkongsi bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan